My Followers

Thursday, December 30, 2010

Hukum Menyambut Awal Tahun Masihi


INGAT!
JANGAN IKUT-IKUTAN MERAYAKAN
KEDATANGAN AWAL TAHUN MASIHI
( Bilangan 273 )

بسم الله ، والحمد لله ، والصلاة والسلام على رسول الله ، وعلى آلھ وصحبھ ومن والاه
(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Tahun Hijrah dan Tahun Masihi merupakan dua tarikh yang masyhur dan dikenali secara meluas di kalangan masyarakat. Walaupun mempunyai sejarah berbeza namun keduanya merupakan tarikh yang digunapakai dan kadangkala digabungkan dalam satu kalendar.

Tahun Hijrah secara khusus hanya terkenal dalam masyarakat dan dunia Islam. Ia dikaitkan secara langsung dengan Islam. Manakala awal tahunnya pula dijadikan antara hari-hari kebesaran Islam. Ini kerana dari semenjak pengisytiharan Sayyidina Umar Ibnu al- Khattab Radhiallahu ‘anhu mengenai awal tahun bagi umat Islam, maka awal Tahun Hijrah telah dianggap salah satu syi‘ar yang disambut khusus oleh umat Islam.
Tahun Masihi pula memang dikenali oleh masyarakat antarabangsa kerana seluruh dunia menjadikannya tarikh utama di dalam kalendar mereka. Awal tahunnya dijadikan hari besar dan dirayakan.

Di sini timbul satu persoalan tentang sesetengah masyarakat Islam yang turut merayakan awal Tahun Masihi dengan sambutan besarbesaran
sebagaimana orang bukan Islam merayakannya. Yang paling merisaukan, orang-orang Islam lebih ‘ghairah’ menyambut Tahun Masihi melebihi orang-orang bukan Islam.

Ingatkah kita suatu masa dahulu, kita pernah ber‘JANUARI’ dengan mengadakan berbagai acara kesukaan, seperti lumba perahu. Ber’JANUARI’ dihubungkaitkan dengan awal Januari, iaitu awal Tahun Masihi. Sekarang sudah tiada pesta seperti itu, tetapi ada pesta-pesta lain, terutama pada malam menyambut awal Tahun Masihi.

Merayakan Awal Tahun Baru Masihi

Menyambut awal tahun baru Masihi bukanlah budaya orang-orang Islam. Ia juga bukan salah satu dari hari-hari kebesaran Islam sebagaimana orang-orang Islam menyambut awal Tahun Hijrah, hari Maulud Nabi Shallallahu ‘alaihi wassalam, Isra’ dan Mi‘raj, Puasa Ramadhan, Nuzul al-Qur‘an, Hari Raya ‘Idil Fitri dan Hari Raya ‘Idil Adhha.

Awal tahun baru Masihi hanya perayaan yang sering dirayakan oleh orang bukan Islam di negara-negara Barat. Ramai orang yang meniru perayaan ini sehinggakan ia berleluasa hingga ke negaranegara lain seluruh dunia. Perayaan ini turut menyelinap masuk ke dalam masyarakat Islam samada secara mereka sedari atau tidak, dan jika orang Islam kurang pengetahuan agama dan leka dengan penyelinapan ini, maka sudah setentunya ia akan menjadi satu budaya yang diamalkan oleh umat Islam sampai bila-bila.

Malahan jika perkara ini dilepas pandang, ia akan semakin berakar umbi
dalam masyarakat Islam. Ia sudah menjadi kebiasaan menyambutnya di mana-mana tempat. Secara besar-besaran pula. Bermacam-macam acara diadakan untuk menghidup dan memeriahkan kedatangan tahun baru itu.

Pada malam 1 Januari, pelbagai pesta dibuat seperti pesta makan minum, diiringi dengan nyanyian, tarian dan lain-lain acara, sementara menanti acara kemuncak iaitu pengiraan detik tahun baru melalui jarum saat dan jam yang menuju ke angka dua belas. Apabila jarum jam sudah menunjukkan ke angka 12 tengah malam, maka kedengaranlah teriakan dan sorak sorai orang ramai tanda tahun baru sudah menjelma. Dalam pesta yang diadakan itu, sudah setentunya banyak perkara negatif berlaku, antaranya percampuran di antara lelaki dan perempuan, terdapat bentuk hiburan yang dilarang oleh Islam dan yang tidak secocok dengan akhlak Islam.

Perkara-perkara yang disebutkan itu sangatlah bertentangan dengan kemuliaan Islam. Daripada penjelasan ini, nyatalah Islam dan umatnya tidak ada kaitan langsung dengan sambutan dan perayaan seumpama itu,
untuk mengalu-alu dan membesar-besarkan kedatangan awal tahun
Masihi tersebut. Lebih-lebih lagi jika ia bercorak keagamaan lain
daripada Islam.

Oleh itu, orang Islam tidak boleh turut sama membesarkan awal tahun Masihi seperti orang bukan Islam membesarkannya, kerana yang demikian itu dikhuatiri akan membawa tasyabbuh (penyerupaan) terhadap mereka yang beragama lain di dalam budaya, tujuan dan akidah mereka. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum itu, maka dia dianggap salah seorang dari (kalangan) mereka.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Sehingga ke hari ini, kebanyakan negara termasuk sebahagian dari
negara-negara Islam masih menggunakan kalendar Masihi sebagai
kalendar asas. Ia memang tidak akan berubah memandangkan
kemasyhuran pemakaiannya secara global.

Walau bagaimanapun sudah sepatutnya umat Islam di selurh dunia
memikirkan untuk menjadikan kalendar Hijrah sebagai kalendar asas mereka. Kita telahpun diperkenalkan atau dibekali dengan kalendar yang mempunyai sejarah tersendiri lagi indah sejak berabad-abad lagi iaitulah kalendar Islam yang bermula dari tarikh hijrah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dari kota Mekkah ke kota Madinah. Mengapakah ia harus diletak di belakang dan kurang dipakai oleh umat Islam, sedangkan kalendar Masihi dipakai secara meluas dan menyeluruh sehingga menenggelamkan kalendar Islam itu?

Marilah kita berfikir sejenak dan bertanya di dalam diri kita sendiri: Apakah tanggapan orang lain terhadap kalendar Hijrah orang-orang Islam jika kita sendiri tidak mahu mengagungkannya? Adakah orang lain mahu memakainya sebagaimana orang Islam memakai kalendar Masihi? Dan yang lebih jauh lagi, pernahkah kita mendengar atau berjumpa orang bukan Islam turut merayakan awal tahun Hijrah kita?

Oleh yang demikian, kita umat Islam sendiri patutlah belajar megah dan komited serta dengan penuh semangat menggunakan kalendar Hijrah sebagai kalendar utama dalam kehidupan kita seharian. Begitu juga tanggungjawab kita membesarkan kedatangan awal tahun hijrah, bukan sebaliknya merayakan dan membesarkan awal tahun Masihi.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...